Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Monday, 22 August 2011

Ayam Masak Merah Madu


Kembali bersiaran. Lilly nak kongsi resepi ayam masak merah madu yang lilly selalu masak semasa Ramadhan tahun ini. Tidak kurang 2 kali seminggu mesti lilly masak. Aisyah memang cukup suka makan ayam masak merah madu ni. Bila ada jemputan iftar rumah kawan, lilly pun mesti masak ayam masak merah madu ini. Kenapa ye? Sebabnya lilly rasa confirm laku orang ambik makan. Budak-budak pun memang suka kan kalau ayam masak merah berbanding lauk yang bersantan. Betul tak?


Ayam Masak Merah Madu
Sumber: lilly dapurdriyadh.blogspot.com

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - dibersihkan dan dipotong kecil
(letak kunyit dan garam dan goreng separuh masak)

Bahan dikisar
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2-3 sudu besar cili kisar - ikut nak pedas macam mana
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas

Bahan lain:
1 labu bawang besar - dimayang
1/2 inci lengkuas
1/2 inci halia
3 sudu besar pes tomato
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar madu
1/2 kiub perisa ayam
1 cawan air
3 sudu besar gula
1/2 sudu besar garam
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 biji tomato- dibelah 4
1 helai daun pandan - disimpul

Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan 4 sekawan dan daun pandan. Masukan bawang besar yang dimayang, lengkuas dan halia. Goreng hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan dikisar dan goreng hingga garing.
    Masukkan pes tomato, sos tomato, sos cili, madu dan kacau rata. Masukkan sedikit air sekiranya ingin mahu berkuah. Kacau rata
  2. Setelah itu masukkan ayam, buah tomato, garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
  3. Gaulkan hingga sebati dan rata. Agak ayam masak mesra dengan kuah bolehlah tutup api dan angkat.

Saturday, 29 May 2010

Ayam Kalio


Hari ni masak ayam masak kalio sebab hati ni dah berkata-kata mingu lepas. Nasib baik ingat resepinya. Resepi ayam kalio ni resepi ubahan sendiri dari sumber cakap mulut from MIL juga dari besannya.

Ayam Kalio

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam (dipotong ikut suka)
250 ml santan
garam dan sedikit gula
1 batang serai (diketuk)
1 keping asam gelugur
2-3 helai daun limau purut
2 sudu besar cili kisar

Bahan-bahan utk dikisar :
2 labu bawang besar size sederhana
3 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1/2 inci halia
sedikit kunyit hidup

Cara-cara:
  1. Panaskan sedikit minyak di dlm periuk. Tumis bahan2 kisar hingga terbit bau. Masukkan cili kisar dan serai. Masak hingga garing.
  2. Masukkan santan. Biarkan sekejap. Masukkan ayam.
  3. Masukkan daun limau purut.
  4. Agak-agak separuh masak, masukkan garam, sedikit gula dan asam gelugur. Kacau dan biarkan sampai masak. Hidangkan.

Tuesday, 25 May 2010

Ayam Masak Padang


Hari ni lilly cuba masak Ayam Masak Padang diambil dari blog kak ummi kuantan. Resepi asal dari sapa lupa la pulak. Minta maaf ye tuan punya resepi. Lain kali kena catat ni....karang kena saman la pulak. Nak buka balik blog kak ummi malas la pulak.

Memang sedap Ayam Masak Padang ni. Rupa lebih kurang sama dengan ayam kalio yang lilly masak satu masa dulu. (Hemm...rasanya dah dekat setahun tak masak ayam kalio....next week boleh masak la). MH balik dari ofis siap tanya lilly masak apa yang special hari ni...dia kata wangi je bau bila buka pintu rumah.

Ayam Masak Padang

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam (dipotong ikut suka)
300 ml santan
100 ml susu cair
garam dan sedikit gula
1 batang serai (diketuk)
1 keping asam gelugur

Bahan-bahan utk dikisar :
4 tangkai cili merah
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
2 batang serai
10 biji cili api (lilly kurangkan separuh)
sedikit kunyit hidup


Cara-cara:
  1. Panaskan sedikit minyak di dlm periuk. Tumis serai dan bahan2 kisar hingga terbit bau.
  2. Masukkan ayam dan biarkan mendidih sebentar.
  3. Masukkan santan dan susu cair.
  4. Akhir sekali masukkan garam, sedikit gula dan asam gelugur. Kacau dan biarkan ia sampai masak. (jika xnak kuahnya pekat, boleh tambah air).
  5. Hidangkan.

Saturday, 10 April 2010

Lemon Chicken


Dinner hari ni lilly masak chineese style....lemon chicken. Bahasa melayunya ayam bersos lemon. Mentang-mentang dalam fridge banyak buah lemon...ku masak lemon chicken. Senang sebenarnya masak chineese style berbanding masak cara melayu. Pada pandangan peribadi lilly. Masakan melayu banyak mengunakan bahan seperti serai, lengkuas, halia etc. Pastu banyak yang pakai santan.

Sapa yang memang tekak melayu rasanya tak boleh masuk kot sebab masam dia rasa lain sikit. Bukan masam asam pedas tau..tapi rasa lemon :D. Lilly belajar makan n masak chineese style ni pun bila dah kahwin dengan MH. Nasib baiklah tekak ni boleh terima dan ingin mencuba.


Lemon Chicken

Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam - bersihkan dan dipotong size sederhana
1 biji telur
sedikit lada sulah
3 sudu besar tepung jagung
1 biji bawang besar - dipotong baji
1 sudu besar minyak masak
hirisan buah lemon

Untuk sos
3 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 biji lemon - diperah ambil airnya
1 sudu besar pati jus lemon
3 sudu besar gula
garam secukup rasa
1/4 cawan air


Cara membuatnya:
  1. Pukul telur di dalam bekas hingga kembang. Masukkan lada sulah. Gaul ayam dan perap selama 10 minit. Salut ayam dengan tepung jagung sebelum menggoreng ayam. Goreng ayam hingga masak dan kuning keemasan. Angkat dan toskan.
  2. Masukkan semua bahan untuk sos di dalam bekas. Kacau. Ketepikan.
  3. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Masukkan bawang besar dan goreng hingga kekuningan.
  4. Masukkan bahan sos, sedikit air, hirisan lemon dan garam gula secukup rasa. Masukkan ayam dan gaul rata. Tutup api dan sedia untuk dihidang.

Monday, 15 February 2010

KACANG PANJANG GORENG DENGAN HATI AYAM


Lilly tak sure mana satu sebenarnya bahan utama menu ini. Ikut kita hendak yang mana satu. Dua-dua pun boleh...hati ayam dan kacang panjang. Kiranya ada 2 watak utamalah ini...hero dan heroin. Sukatan di bawah ini memang banyak sedikit kalau dibandingkan untuk 4 orang makan. Boleh kurangkan ikut selera masing-masing.

Kacang Panjang Goreng Dengan Hati

Bahan-bahan:
200 gm hati ayam- dihiris nipis
2 ikat kacang panjang - dihiris panjang serong
1 batang carrot - dipotong nipis bulat
1/3 biji capsicum - dihiris nipis memanjang
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
Garam


Cara membuatnya:

  1. Panaskan minyak untuk menggoreng hati. Masukkan hati goreng hingga hati masak.
  2. Keluarkan minyak sehingga agak-agak 2 sudu besar. Masukkan bawang besar, bawang putih dan cili merah. Goreng hingga kekuningan bahan tersebut.
  3. Masukkan carrot dan air , goreng hingga agak-agak layu sedikit. Masukkan kacang panjang dan capsicum dan sedikit garam secukup rasa. Tutup api dan boleh dihidang.

Sunday, 31 January 2010

SOTO AYAM


Tak tahu kenapa datang angin rajin hendak masak soto ayam hari rabu lepas.. Sebabnya lilly pagi itu sepatutnya buat birthday cake untuk ammar..red velvet cake. Pukul 9 pagi tekak ini teringin nak makan soto ayam hari itu. Lilly apa lagi terus rebus ketupat dan defrostkan ayam prepare untuk buat soto ayam. Dah terbengkalai projek hendak buat red velvet cake. Kenapa red velvet cake sebabnya ammar hendak birthday cake warna merah...teringatkan red velvet cake.. Yang tidak pernah dicuba lagi.

Bila Ammar balik sekolah lilly tanya lagi pasal birthday cake dia yang lilly tak buat lagi dan cakap mom beli je la. Dia tak nak yang beli. Ammar nak juga lilly buat birthday cake utk dia tapi tak nak pula kek merah nak kek coklat. Huwaa... dah la baru habis masak soto dan pegedil... penat tak habis lagi. Jadinya hari itu lilly masak soto ayam dengan pegedil daging serta bahan-bahan sampingan dan juga kek coklat.

Bercakap pasal soto..lilly tak perlu susah2 sangat hendak buat bahan rempahnya sebab lilly ada rempah soto segera yang dibawa dari Malaysia. Bermacam2 brand rempah soto yang lilly bawa. Tapi kali ini lilly pakai rempah soto Adami. Dan lilly tambahkan juga rempah kurma dan rempah sup. Lilly letak kerisik dan santan sedikit mengikut resepi dari mak mertua lilly, Hajah Wan Azizah.


Soto Ayam

Bahan-bahannya:
6 bungkus ketupat segera - rebus lebih kurang 2-3 jam
1 ekor ayam - dibersihkan dan dibelah 2
1 paket rempah soto segera
2 bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 inci lengkuas
2 batang serai
1 sudu besar kerisik
1 cawan santan cair
1 inci kulit kayu manis
1 bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
1 sudu besar rempah kurma
1/2 sudu besar rempah sup
1 sudu besar kerisik


Bahan-bahan utk kicap cili
5-10 biji cili api
2 ulas bawang putih
1/4 kicap lemak manis
sedikit garam

Bahan-bahan sampingan
pegedil daging
taugeh - dicelur sekejap
bawang goreng
daun bawang
kicap cili
soo hoon - digoreng dengan minyak panas
kacang tanah yang digoreng

Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan 4 serangkai dan bahan kisar. Goreng sehinga naik bau. Masukkan rempah kurma dan sup dan kacau hingga garing sedikit. Masukkan air sebanyak 3 liter dan ayam. Biarkan kuah mendidih sehingga ayam masak.
  2. Keluarkan ayam dan toskan. Masukkan rempah soto segera dan kerisik. Kacau. Masukkan garam sedikit dulu. Perlahankan api dan biarkan kuah masak lebih kurang 10-15 minit.
  3. Akhir sekali masukkan santan dan kacau. Masukkan garam jika perlu. Lebih kurang 5 minit tutup api.
  4. Goreng ayam tadi dahulu jika suka dan carik halus.
  5. Cara membuat kicap cili: Masukkan semua bahan dalam blender dan kisar halus. Sedia untuk dihidang.
  6. Cara menghidang: Potong dadu ketupat segera. Letakkan ayam yang telah dicarik dan taugeh, tuang kuah soto. Hiaskan dengan pegedil, soo hoon, kacang goreng, bawang goreng dan kicap cili.

Inilah rempah soto yang lilly pakai itu.

PEGEDIL DAGING


Pegedil daging

Bahan-bahannya:
750 gm kentang - dibuang kulit dan dibersihkan
150 gm daging cincang
1 biji bawang besar -dicincang halus
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 sudu besar serbuk sup
garam secukupnya
segenggam daun bawang + daun sup - dipotong sederhana halus
1-2 biji telur

Cara membuatnya:


  1. Rebus kentang hingga empuk. Angkat dan toskan. Lenyekkan kentang hingga halus. Ketepikan.


  2. Panaskan minyak sedikit di dalam kuali. Masukkan bawang besar dan bawang putih. Goreng hingga naik bau.Masukkan daging cincang dan kacau. Masukkan rempah sup yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau rata.


  3. Tunggu sehingga daging cincang tadi masak dan kering. Masukkan sedikit garam.Tutup api dan masukkan daun bawang dan daun sup. Kacau rata.


  4. Masukkan daging cincang ini ke dalam kentang yang telah dilenyek tadi. Gaul rata.
    Bulat-bulatkan pegedil dan leperkan sedikit. Letakkan pegedil di atas dulang yang ditabur dengan tepung gandum. Buat sehingga habis.Celupkan pegedil dengan telur yang telah dipukul.


  5. Cara menggoreng. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Agak-agak minyak sederhana panas, masukkan 5-7 ketul pegedil, agak-agak telah kuning antara 10-15 saat terbalikkan pegedil. Biarkan sekejap dan angkat.




Tuesday, 26 January 2010

SUP AYAM LENGKUAS

Resepi sup ayam lengkuas ini rasanya ala-ala tom yam. Mungkin sebab lilly letak lengkuas banyak dan perah lemon. Sesekali tukar selera masak begini. Senang sangat. Aisyah n Ammar pun suka. Aisyah ingat lilly masak singgang mula-mula sebab itukan lauk favorite dia. Nasib baik dia suka. Ammar makan nasi habis satu pinggan.

Sup Ayam lengkuas

Bahan-bahannya:
200g isi ayam - dipotong kecil
1 bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia - dihiris
2 1/2 inci lengkuas - dihiris
1 batang serai - diketuk
1 kiub ayam
1 biji tomato - dibelah 8
1/2 batang carrot - dipotong bulat
3 kuntum bunga kobis
1/2 biji lemon - diperah jusnya
1 liter air

Cara membuatnya:
  1. Panaskan periuk dengan sedikit minyak. Masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan lengkuas. Kacau seketika hingga naik bau. Masukkan air, serai dan kiub ayam. Masak dengan api sederhana perlahan lebih kurang 20 minit.
  2. Masukkan ayam dan tomato. Perahkan sedikit lemon. Masukkan garam secukup rasa. Tunggu hingga mendidih.
  3. Masukkan carrot dan bunga kobis. Biarkan sehingga ayam masak. Tutup api dan boleh dihidang.

Wednesday, 13 January 2010

AYAM BLACKPEPPER MAYONIS

Bakar ayam lagi lilly semalam. Sebabnya rasa senang sangat rupanya bakar ayam ini. Sihat pun juga sebab tak berminyak. Lilly padankan ayam bakar blackpepper mayonis ni dengan nasi ayam.

Ayam Blackpepper Mayonis

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu besar blackpepper
2 sudu besar madu
2 sudu besar gula
1 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil garam
3 sudu besar mayonis
sedikit lada sulah


Cara membuatnya:
  1. Blender bawang besar, halia, bawang putih dengan sedikit air sehingga halus. Masukkan bahan blend di dalam bekas dan campur gula, lada sulah, garam, madu dan lada hitam.
  2. Masukkan ayam dan akhir sekali letakkan mayonis, gaul sebati. Perap selama 2 atau 3 jam di dalam peti ais.
  3. Bakar pada suhu 200 C selama 1 jam atau sehingga masak, sedia untuk dihidangkan.

Friday, 8 January 2010

AYAM PANGGANG ALA KENNY ROGERS

Rabu lepas Lilly masak ayam panggang, mashed potato, salad dan juga macaroni cheese. Western gitu dinner last Wednesday. Resepi ini lilly ambil dari blog Hana...blog yang selalu lilly ronda-ronda. Lilly tidak pakai satu ekor ayam tapi lilly pakai 6 bahagian maryland sebab itu je yang ada kat rumah. Sedap ayam panggang ni dan MH makan 3 bahagian tau...




Ayam Panggang Ala Kenny Rogers

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (bersihkan dan tidak perlu dipotong kecil)
Bahan-2 untuk make up ayam :
3 biji bawang besar (lilly pakai 1 bawang besar je)
4 biji bawang putih
1 inci halia
2 atau 3 sudu besar sos lada hitam - ganti ngan sos tiram+kicap pekat n lada hitam byk.
2 sudu besar madu
1 ketul kiub ayam Knorr - tak letak
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar herba campuran -pakai all spice
1 1/2 sudu teh garam halus
Sedikit air untuk mengisar kesemua bahan make-up.
Sedikit mentega
lilly tambah 2 sudu besar dried rosemary

Cara membuatnya:

  1. Campur kesemua bahan make-up dengan sedikit air dan kisar.
    Lumurkan keseluruhan bahan tadi diluar dan dalam ayam yang telah dibersihkan.
    Perap selama 1 1/2 jam.- Lilly perap 4 jam.
  2. Sapu sedikit mentega keseluruhan ayam dan bakar/panggang. Bakar selama 1 1/2 jam atau sehingga ayam masak. Semasa membakar, selepas 1/2 jam pertama, sapukan ayam dengan minyak n campuran rempah yang menitis. Ini supaya ayam tidak terlalu kering.
  3. Hidangkan bersama kentang putar n salad.

CHEESY MASHED POTATO



Selalunya lilly buat mashed potato plain aje..tapi kali ini lilly buat cheesy mashed potato macam dekat TGI Friday's. Alhamdulillah menjadi.

Cheesy Mashed Potato

Bahan-bahannya:
750 g russet potato
Air yg cukup untuk merebus
3 sudu besar butter
2 sudu besar mayonaise
3 sudu besar cawan susu segar
10 g cheddar cheese
1 sudu kecil black pepper

Bahan-bahan untuk gravy :
2 ulas bawang putih dicincang halus
2 sudu kecil black pepper
3 sudu besar kicap manis + 1 cawan air
2 sudu besar tepung jagung + dgn sedikit air ( untuk memekatan gravy)
1/2 kiub ayam
2 sudu besar butter
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

  1. Kupas kulit ubi kentang dan potong nipis2. Rebuskan dalam periuk - isi air cukup-cukup menutupi kentang. Letak sedikit garam. Rebus hingga empuk dan toskan air lebihan.
  2. Dalam periuk api perlahan, cairkan sedikit butter dan cheese dengan susu segar. Masukkan cheese tadi ke dalam kentang yang telah direbus. Masukkan mayonaise dan serbuk black pepper dan lecekkannya.Lecekkan sampai kentang halus. Masukkan ke dalam bekas dan padatkan. Buat lubang di tengah-tengah. Curah gravy di atasnya.
  3. Untuk Gravy :
    Tumis bwg putih dan butter hingga warna perang dan wangi.
    Masukkan semua air, kicap manis, kiub ayam dan garam. Masak hingga didih.
    Masukkan bancuhan tepung jagung sikit2 sampai gravy tu tak pekat, tak cair.( Ikut citarasa masing2). Tuangkan gravy atas mashed potato tadi semasa menghidang.

Tuesday, 5 January 2010

AYAM GORENG SRI WANGI

Simply sedap! Memang mudah nak membuatnya dan memang best! Semalam lilly masak Ayam Goreng Sri Wangi ni resepi dari buku Chef Wan. Tiga empat hari lepas bila baca newspaper online asyik cerita pasal Chef Wan kahwinkan anak dia Serina je, jadi lilly pun terbukalah hati hendak masak ikut resepi dalam bukunya Simply Sedap!. Setakat ini baru dua resepi je yang lilly pernah masak....Ayam Goreng Sri Wangi (2x) dan Chef Wan's Chicken Rice (2x). Walaupun buku ini telah hampir berusia 8 tahun dengan lilly...ish..ish..ishhh. Nasib baiklah bukan lilly yang beli buku ini...hadiah kahwin.

Ayam Goreng Seri Wangi

Bahan-bahannya:
4 bahagian dada ayam-dipotong sederhana kecil
(lilly tidak pakai bahagian dada, pakai mixed part)
minyak masak untuk menggoreng
1 sudu besar minyak masak
2 batang serai-dihiris nipis (lilly pakai 1 batang je)
1 kuntum bunga kantan -dihiris nipis
10 cili api - dihiris
2 sb pes tom yam
60ml/ 1/2 cawan air
1 sk madu
1 1/2 sb mayonnaise
3 daun limau purut - dihiris halus

Lilly tambah (sorry ye chef wan)
2 helai daun limau purut
1/2 inci lengkuas - dihiris bulat

Bahan perapan. Gaul sebati.
1 1/2 sb sos tiram
garam
1 biji telur, dipukul
3 sb tepung jagung

Cara membuatnya:
  1. Satukan ayam dan bahan perapan dan perap selama 15 minit.
  2. Goreng ayam sehingga berwarna keperangan dan garing. Angkat dan toskan.
  3. Di dalam kuali, panaskan 1 sudu besar minyak dan masukkan serai, bunga kantan, lengkuas, cili padi dan pes tom yam. Kacau hingga naik bau.
  4. Masukkan air, madu dan ayam. Kacau rata. Padamkan api dan masukkan mayonnaise. Masukkan daun limau purut.
  5. Tabur daun limau purut yang dihiris nipis sewaktu menghidang.


Sunday, 27 December 2009

AYAM MASAK MERAH


Ayam masak merah lilly berbeza sedikit kerana lilly meletakkan sedikit santan. Resepi dari mak lilly. Rasa lemak-lemak gitu. Sedap dimakan dengan nasi tomato, nasi minyak, nasi hujan panas etc yang sejenis dengannya.

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - dipotong kecil
(letak kunyit dan garam dan goreng separuh masak)

10-15 tangkai cili kering @ 4 sb cili kisar
1 1/2 inci halia -dikisar halus
5 ulas bawang putih -dikisar halus
2 labu bawang besar -dikisar halus
1 batang serai -dititik
4 sudu besar pes tomato
1/2 cawan santan
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
bawang besar - dipotong bulat
kacang peas - jika suka

Cara membuatnya:
  1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan 4 sekawan. Kemudian tumiskan bahan-bahan yang sudah dikisar dan serai hingga garing. Masukkan pes tomato dan kacau rata. Masukkan sedikit air jika kering.
  2. Setelah itu masukkan ayam, kacang peas, bawang besar, buah tomato, garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
  3. Gaulkan hingga sebati dan rata. Akhir sekali masukkan santan dan kacau.
  4. Apabila agak sedikit kering bolehlah diangkat


Thursday, 19 November 2009

AYAM KUNG PAO


Salam. Lilly masak Ayam Kung Pao Selasa lepas bila tengok ada banyak isi ayam dalam fridge. Salah satu cara nak suruh MH makan ayam bahagian isi...hihihih. MH suka bahagian peha ayam dan kurang bahagian isi. Tapi lilly masih goreng ayam untuknya tau malam itu. Kacang gajus pun ada dalam stok. Beli masa bulan puasa lepas sebab ingat nak buat ayam kung pao makan masa bersahur. Tak buat-buat sampai la semalam. Senang nak buat Ayam Kung Pao ni. Rasa pun sedap.


Ayam Kung Pao

Bahan-bahannya:
350-500 gram isi ayam - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dipotong 8 bahagian
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
3 tangkai cili kering - dipotong serong 2-3 bhg, buang biji dan direndam sekejap
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato
segenggam kacang gajus
daun bawang - potong panjang 1 inci

Cara membuatnya:

  1. Panaskan kuali dan letak sedikit minyak. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia. Goreng naik bau. Masukkan ayam dan cili kering kacau. Masak sehingga ayam berwarna keperangan.
  2. Masukkan sos tiram, sos tomato dan air. Kacau dan tunggu sehingga mendidih. Masukkan kacang gajus dan kacau rata. Letak sedikit garam secukup rasa.
  3. Tunggu sehingga sedikit kering dan tutup api. Masukkan daun bawang dan kacau. Sedia untuk dihidang.

Monday, 16 November 2009

TOMYAM PUTIH AYAM


Lama lilly tak buat sup tomyam putih. Sesuai sebagai pembuka selera terutama orang yang baru baik demam. Tapi Lilly bukan baru baik demam tau. Alhamdulillah lilly sihat dan begitu juga keluarga. Lilly masak tomyam putih ayam lawan dengan ikan bakar. Boring juga asyik makan sup sayur tiap-tiap hari. Hilang keistimewaan ikan bakar itu jika makan dengan sup sayur.


Tomyam Putih Ayam

Bahan-bahannya:
5 ketul ayam - dipotong kecil
2 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang puti - diketuk @ dihiris
1 inci halia - dihiris
2 inci lengkuas - dihiris bulat
1 batang serai - diketuk
5-6 cili padi - diketuk
3 helai daun limau purut
1 1/2-2 liter air
1 paket serbuk tomyam putih adabi
1/2 batang carrot - potong bulat
2-3 kuntum bunga kobis
1 biji tomatao - dibelah 4
1 biji lemon
sedikit daun ketumbar
garam halus


Cara membuatnya:
  1. Panaskan periuk dan letakkan sedikit minyak. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan lengkuas. Kacau sampai naik bau. Masukkan ayam, serai dan cili padi. Kacau rata.
  2. Masukkan air dan serbuk tomyam putih. Tunggu hingga mendidih. Masukkan buah tomato, carrot, bunga kobis dan daun limau purut. Kacau.
  3. Perahkan lemon ke dalam sup tomyam dan letak daun ketumbar. Letak garam dan rasa mengikut citarasa. Biarkan kuah mendidih lagi 5-10 minit. Tutup api. Boleh dihidang.



Tuesday, 10 November 2009

AYAM ALA PADPRIK


Tiap-tiap minggu mesti ada lauk ayam padprik ni....betul tak MH? Kenapa ye...sebab lilly suka masak lauk yang mudah dan ikut tekak sendiri. Sampaikan kawan lilly cakap 'selalu ye lilly masak ayam padprik'. Ye lah bila dia tanya masak apa hari ini? Lilly cakap rasanya ayam masak padprik. Minggu depan bila dia tanya masak lauk apa hari ini. Lilly bagitau ayam padprik. Setiap kali telepon bila tanya masak lauk apa hari ini. Dia dengar ayam padprik je...tu yang dia cakap selalu. Tapi kawan lilly tau sebenarnya lilly memang masak macam-macam. Cubalah kawan ku.

Ayam ala padprik

Bahan-bahannya:
5 ketul ayam – dibersihkan dan potong sederhana kecil
2 bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dicincang
1 inci halia – dihiris
1 inci lengkuas - diketuk
1 batang serai diketuk
¼ kiub perisa tom yam knorr @ maggi
3 sb sos tiram
2 sb sos tomato
1 sb sos chili thai
1 – 2 biji cili hijau – dibelah dua
½ batang carrot
3 kuntum bunga kobis
2-3 helai daun limau purut
1 sb tepung jagung
3/4 cawan air
½ sb garam

Cara membuatnya:

  1. Panaskan periuk dengan sedikit minyak. Masukkan bawang putih dan halia kacau. Masuk bawang besar, lengkuas dan cili hijau. Kacau sampai garing sedikit. Masukkan ayam dan serai. Goreng sampai naik bau.
  2. Letakkan air dan kiub tom yam. Biar mendidih. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos chili thai. Kacau rata.
  3. Masukkan carrot dan daun limau purut.Kacau. Tunggu sehingga ayam masak.
  4. Masukkan bancuhan tepung jagung dan garam. Kacau. Rasa dan tambah lagi garam ikut rasa.
  5. Kemudian masukkan bunga kobis dan kacau lagi. Biarkan sekejap. Padamkan api.

Friday, 6 November 2009

SUP AYAM LILLY

Sup ayam je dan telur mata kerbau menu untuk makan malam hari Jumaat kebiasaannya. Hubby lilly lagi berselera makan sup ayam begitu juga anak-anak lilly. Katanya nak makan yang 'ringan' sikit setelah semalamnya makan steak....menjadi kebiasaan keluarga kami makan sup ayam hari Jumaat...kasi mom rest masak yang simple.

Hari Khamis lepas hari cuti memasak untuk lilly. (Walaupun cuti tapi masih lagi goreng ayam untuk Ammar n Aisyah). Brunch dengan roti pratha dan kuah kari yang dibeli kedai makanan india....dan dinner seawal 7.00 malam di Chili's. Selepas dinner kami pergi mencari baju sejuk Ammar kerana musim sejuk akan datang tidak lama lagi. Sementara ada Sales.






Kalau orang tanya lilly 'Best duduk Riyah?' Lilly memang mengatakan 'Best!!!" Di Riyadh ada Chili's, TGI, Tony Romas, Applebees, Steak house etc...yang semuanya halal dan tiada bar yang menyediakan minuman keras. Tempat duduk yang luas dan selesa...tidak seperti di Malaysia sebelah meja kita ada meja orang lain yang begitu rapat. Di sini meja makan agak jauh sedikit daripada meja-maja lain...dan ditutupi dengan 'cubical'. Kita juga boleh memilih untuk duduk di tempat yang terbuka yang tiada ditutupi dengan 'cubical'.

Shopping complex memang setanding dengan Malaysia....di kebanyakan shopping complex akan ada kedai-kedai Mothercare, Next, Zara, H&M etc... Nanti lilly ceritakan kisah shopping complex di entry lain kali yea..ke mana perginya kisah resepi sup ayam lilly ni..hihihihh).







Resepi Sup Ayam

Bahan-bahannya:
6-7 ketul ayam - dibersihkan
3 bawang putih - dikisar halus
1 biji bawang besar size sederhana- dikisar halus
1/2 inci halia - dikisar halus
2 sb perencah sup ayam Adabi
1 bunjut sup ayam
1/2 kiub perisa ayam
1 biji kentang dibelah 4
1/2 batang carrot
2 kuntum bunga kobis
1 inci kulit kayu manis
1 bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
1 liter air atau lebih
1 1/2 sb garam halus
daun bawang
bawang goreng


Cara membuatnya:
  1. Panaskan periuk dengan 2 sudu besar minyak. Apabila agak-agak minyak sudah panas, masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih.
  2. Kemudian masukkan bahan yang dikisar tadi. Kacau sehingga naik bau. Masukkan perencah sup ayam yang telah digaul dengan sedikit air. Kacau lagi sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan air. Masukkan sup bunjut. Tunggu sehingga air mendidih. Perlahankan api.
  4. Masukkan ayam dan kentang. Biarkan lebih kurang 15 minit sehingga ayam dan kentang masak.
  5. Masukkan carrot dan kubis bunga.
  6. Masukkan garam dan kiub ayam dan rasa. Tambah garam lagi jika perlu.
  7. Tunggu sehingga sup mendidih dan padamkan api.
  8. Taburkan daun bawang dan bawang goreng sewaktu menghidang.





Lilly juga buat roti sosej pada hari Jumaat itu kerana MH kerja. Itu yang boleh buat kalau tidak lilly kurang selesa lama-lama di dapur apabila hubby ada dirumah...ye lah dia ada dirumah lilly kenalah teman. Lilly buat 2 adunan roti kerana kawan lilly order roti dan juga untuk sarapan pagi hari esoknya keluarga lilly. Lilly gunakan resepi yang sama Roti Sosej Berkeju pada entry yang lepas.



Friday, 30 October 2009

SATE MELAYU ASLI SINGAPURA DAN KUAH KACANG SINGAPURA


Kawan-kawan di Riyadh ni pandai memasak....yang tak berapa pandai masak, dah pandai masak macam lilly ni. Kami bertukar-tukar resepi samada resepi sendiri ataupun yang diambil dari internet. Lilly selalu meminta resepi dari kak elin, jiran lilly ni. Kak elin ni memang pandai masak, tapi badan maintain je...anak 6 you.
Menurut kak elin resepi sate ini adalah resepi sate Singapura.

Resepi Sate Melayu Asli Singapura

Bahan-bahannya:
1.5 kg isi ayam - dipotong kecil cara memanjang atau kiub

Bahan A Dikisar (tidak terlalu halus)
3 biji bawang besar size sederhana atau 20 biji bawang putih
8 ulas bawang putih
4 batang serai (dihiris)
2 inci halia (dihiris)
2 inci lengkuas (dihiris)
300 ml air masak
Bahan B
2 sk serbuk jintan putih
2 sk serbuk kunyit
2 sk serbuk cili
4 sb serbuk ketumbar
8 sk garam halus
10 sb gula pasir
Bahan C
4 sb madu

lidi buluh secukupnya- direndam di dalam air selama 4-5 jam supaya tidak mudah patah

Cara membuatnya:
  1. Kisar bahan A.
  2. Campurkan semua bahan-bahan B di dalam satu bekas dan gigaul sebati pada ayam yang telah dibersihkan.
  3. Maskkan bahan A ke dalam adunan no 2 dan gaul sebati.
  4. Masuk madu jika suka.
  5. Perap ayam tadi lebih 4 jam atau semalaman.
  6. Cucuk ayam dengan lidi.
  7. Campurkan 12 sb minyak masak dan 4 sb gula pada satay sebelum dibakar.
  8. Bakar sate ayam dan balik-balikkan sehingga masak. Sedia untuk dimakan bersama kuah kacang, ketupat dan juga hirisan timun.

Resepi Kuah Sate Singapura
Bahan-bahannya:
300 gram kacang tanah - digoreng tanpa minyak, buang kulit dan dikisar kasar
Bahan A Dikisar halus
25 gram tangkai cili kering direndam dahulu dan dibuang bijinya
2 batang serai - dihiris
1 inci lengkas - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Bahan B
1 sk jintan putih biji
1 sb biji ketumbar
(disangai sehingga naik bau kemudian ditumbuk halus)
Bahan C
1 sk asam jawa- dibuat air asam jawa
5 cawan air
10 sb gula
4 sk garam halus
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
  1. Tumis bahan-bahan A dan B hingga naik bau dan pecah minyak.
  2. Masukkan air, air asam, kacang kisar, garam dan gula.
  3. Masak sehingga mendidih kemudian kecilkan api sehingga mengeluarkan minyak. Kacau selalu supaya kacang tidak hangit.

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails